Tuesday, March 11, 2008

Terima kasih!

Masih terlalu baru aku mengenali beliau. Walaupun masih belum semesra mana perhubungan dan perkenalan tersebut, aku dapat bayangkan saat pertama kami bertemu. Wajah tua yang duduk di sofa lama itu begitu ikhlas tersenyum menyambut kedatangan aku pada hari itu.

Perbualan kami yg pada mulanya agak formal akhirnya terselit juga gelak tawa dan senda gurau. Aku yang pada mulanya agak gabra dan berdebar-debar, kembali tenang meneruskan bicara. Walaupun baru pertama kali bertemu, entah kenapa aku terasa begitu hampir dengannya. Mungkin kesedehanaan dia berbicara dan kesederhanaan penampilannya buat aku senang. Akhirnya pertemuan pertamaan itu berakhir dengan termetrainya satu lagi ikatan perkenalan atau mungkin persaudaraan bagiku.

Pertemuan itu berterusan lagi pertama, kedua, ketiga dan aku akhirnya tidak mengira lagi itu sebagai satu pertemuan tetapi ku anggap pulang ke kampung halaman untuk melawat bapa ku sendiri. Ya, kini dia aku telah anggap sebagai bapa ku. Aku begitu senang dengannya. Aku bersyukur bertemu dan berkenalan dengannya. Aku sangkakan perkenalan ini akan terjalin lama. Supaya dapat aku merasakan perkongsian seorang ayah dan anak seperti yang aku idamkan sejak dulu lagi. Dapat berbual bicara meminta dan berkongsi pengalamannya dalam kehidupan. Tetapi semuanya berakhir bila dia kembali menghadap DIA yang maha esa.

Pertemuan terakhir kami masih segar dalam ingatan aku. Walaupun pada hari itu, tiada sepatah pun perkataan yang keluar dari mulutnya untuk aku, aku tahu dia gembira dengan kehadiran ku di situ. Sehinggalah kali terakhir aku bersalaman dengannya dia tetap diam seribu bahasa. Pandangannya yang terakhir buat aku penuh erti dan makna.

Tanggal 18 Februari 2008 tepat jam 2150, dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Aku bersyukur kerana aku berkesempatan berada di situ. Walaupun aku tidak berpeluang sama untuk mendekatinya pada saat-saat akhir hembusan nafasnya. Aku tetap bersyukur sebab aku masih mampu berdiri di kakinya melihat dia tenang semasa pemergian itu. Riak wajahnya, gerak tubuhnya terlalu tenang dan damai ketika hembusan nafasnya yang terakhir. Mungkin dia sudah bersedia, mungkin dia gembira dengan kehadiran isteri dan anak tercinta.

Abah! Terima kasih atas kenangan lalu walaupun seketika. Terima kasih atas restumu. Terima kasih atas nasihatmu. Terima kasih atas penerimaan dan kasih sayangmu. Harta yang kau tinggalkan padaku, aku bersumpah akan ku jaga dan ku sayangi lebih dari nyawa ku sendiri.
Semoga kau tenang disisinya. Amin!

2 comments:

hanie said...

thanks for everything...walaupun 'dia' takder bersama kita harini..tp doanyer tetap mengiringi kita setiap waktu..al-fatihah

mummy said...

tabah la menghadapi nyer

 
sketch of moments - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.