Tuesday, October 14, 2008

Kau Pergi Jua

23/09/08 - Berita Mak jatuh pengsan aku terima daripada Abang. Mak dikejarkan ke Hospital Batu Pahat dan petang itu selepas waktu pejabat, aku segera bergegas ke sana. Dengan berbuka puasa air sejuk dan roti bagi mengalas perut aku bingkas ke sana. Abang Salleh, Adik dan Abang sudah terlebih dulu sampai di hospital. Aku pantas ke katil Mak. Keadaannya sangat lemah, dia tak mampu membuka mata dan bergerak. Macamana boleh jadi macam ni, baru sahaja pagi tadi aku menelefon Mak. suaranya masih seperti biasa, berbual mesra. Kata Mak, Mak sedang menjahit langsir daripada kain aku belikan untuknya sempena sambutan Aidilfitri dan untuk majlis kahwin ku nanti.

Aku menemani Mak sepanjang malam itu. Mengurut kakinya dan menyapu minyak angin ke kepalanya. Rasanya ingin aku lakukan apa saja ketika itu untuk Mak. Tangan Mak tidak lepas daripada menggenggam tanganku malam itu. Caranya seperti tidak mahu ditinggalkan sendirian. Setelah sehari setengah Mak berada di hospital Batu Pahat, masih tiada apa-apa tindakan diambil oleh pihak hospital. Hanya air berbotol dimasukkan ke bad
an Mak yang lemah. Pagi esoknya doktor mengesahkan yang mak mengalami strok. Walaupun doktor sendiri agak pelik kerana kaadaan kesihatan mak normal kerana tiada darah tinggi, kencing manis dan semuanya dalam kadaan baik. Memandangkan tindakan hospital yang dibuat terlalu “slow", kami sepakat membawa Mak ke JB. Di rumah Abang Salleh kami cuba pula pelbagai ikhtiar lain. Daripada urutan traditional, ustaz yang pakar dalam perubatan batiniah hinggalah pelbagai air penawar diberikan namun kaadaan Mak tetap tiada perubahan. Namun dia masih mampu minum dan makan nasi yang dikisar.

26/9/08 - Keadaan Mak semakin lemah. Dia dah mula tidak makan dan minum seperti biasa. Akhirnya kami menghantar Mak ke Hospital Penawar dan doktor di sana menyarankan agar Mak segera dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Aku dan Maya mengiringi mak dalam ambulan ke sana. Sesampainya di hospital, Mak dikehendaki segera menjalani pembedahan lantaran terdapatnya pendarahan dalam otak dan keadaannya agak serius. 4 jam tempoh pembedahan (2.00am – 6.00 am), kami sekeluarga tak putus-putus berdoa moga pembedahan Mak berakhir dengan selamat dan dia dapat semula seperti sediakala.

Selesai pembedahan, doktor memberitahu bahawa keadaan Mak stabil tetapi yang memilukan harapan untuk Mak pulih terlalu tipis. Amat tipis. Aku menerima berita ini dengan tabah, namun tak mampu menyembunyikan rasa sedih yang terlalu sangat. Air mata ini mengalir laju membasahi pipi tanpa henti. Mak tenang terbaring kaku di wad ICU tanpa sebarang reaksi. Mesin-mesin yang disambungkan ke badan Mak, membuatkan aku lemah dan tidak menentu. Tak sangka Mak yang sentiasa sihat akan menghadapi semua ini. 48 jam berlalu, Mak masih di situ, tak sedar, tiada pergerakan malah tindak balas Mak semakin lemah. Ya Allah, semoga kau wujudkanlah satu keajaiban buat kami adik beradik! Sedarkanlah Mak dan pulihkan dia seperti selalu. Kami masih memerlukan dia dalam mengharungi kehidupan ini.

30/09/08 - Tepat jam 4.00 petang kami menerima panggilan telefon daripada pihak hospital, meminta kami kesemua adik beradik berjumpa dengan doktor yang merawat Mak dengan segera. Ya Allah, berita apakah yang akan doktor sampaikan ini. Berikanlah aku kekuatan.

Doktor memberitahu yang keadaan Mak semakin lemah dan tenat. Pihak hospital sudah tiada usaha dan alternatif lagi. Kami pasrah mengizinkan doktor menghentikan mesin bantuan pernafasan yang disalurkan pada Mak dari mula. Di raut wajah masing- masing ada garis-garis kegusaran dan kesedihan. Namun kami redha andai inilah kesudahan buat Mak. Andai inilah yang terbaik untuknya. Tiada lagi kata-kata hanya air mata yang menggambarkan perasaan kami semua ketika itu. Kami adik beradik mengelilingi katil Mak. Walaupun dalam kadaan koma, Mak kelihatan amat tenang. Kami bacakan surah Yassin tak henti-henti dan bergilir kami membisikkan Syahadah ke telinga Mak. Bunyian di mesin di hujung katil Mak sentiasa membuatkan jantung kami berdegup kencang... "Adakah masa Mak telah tiba...."

Tepat jam 5.00 petang, doktor yang mengawasi Mak mengesahkan bahawa Mak telah kembali ke Rahmatullah. Ku tatap wajah Abang Daud, Angah, Abang Salleh, Abang, Adik, Maya, ku jeling pada Kak Ina dan Kak Gee. Dalam hati berkata “Mak kita dah takder”. Oh...terasa lemah kaki ini. Terasa lembut bumi yang dipijak.

Perginya Mak di penghujung Ramadhan. Di saat umat Islam seluruh dunia bergembira menyambut kehadiran Syawal 1412, di saat suara takbir sayup berkumandang di masjid dan surau, di saat semuanya sibuk membuat persiapan terakhir menyambut kehadiran Aidilfitri keesokannya, kami sekeluarga pasrah meratapi pemergian Mak. Mak menghembuskan nafas terakhirnya setelah 4 hari berada di unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Ketika anak-anak rantau pulang ke kampung halaman untuk meraikan 1 S
yawal bersama ibu dan ayah mereka, kami adik beradik pulang ke kampung mengiringi jenazah Mak. Jenazah Mak kami sempurnakan malam itu juga diiringi takbir Aidilfitri. Pernah terlafaz dari bibir Mak tatkala kami sibuk membersihkan kubur arwah abah 2 minggu sebelumnya. "Mak nak raya dengan abah..” Dan air mata ini mengalir lagi.

Mak..Dalam berjuta ibu di dunia, kau tetap satu ratu hati kami, kau tetap contoh buat kami. Ibu yang tabah, bersusah payah membesarkan kami. Mungkin ibu lain moden, bergaya, berharta..tapi Mak yang penuh kesederhanaan tidak pernah membiarkan kami miskin dengan kasih sayang, belaian dan perhatian. Masih aku teringat susah payah mu membesarkan anak-anak satu masa dahulu. Dan yang paling tak mungkin aku lupakan, di saat aku mahu menghadapi peperiksaan SPM, tanpa diminta kau setia menemani aku mengulangkaji pelajaran saban malam hingga ke lewat pagi. Walaupun pagi harinya kau sibuk menguruskan rumah & adik-adik, tak pernah sekali aku dengar rungutan mu atau keluh kesah mu melayani kerenah kami.

Mak..Pasti kami anak-anak mu akan selalu merindui masakan mu, merindui leteran mu, merindui gurau tawa mu, merindui senyuman ikhlas mu. Dan kami akan terus merindui segalanya daripada mu sepanjang hayat kami. Dan tiada gantinya lagi. Sejahteralah Mak di sana di sisi yang Maha Esa. Semoga Allah menempatkan mu bersama orang-orang yang Solehah..Al-Fatehah.



p/s:

i) Buat teman2 seperjuangan, teman2 sepejabat, Along (Ber)..Terima kasih atas doa kalian..Terima kasih atas sokongan moral dan keprihatinan…
ii) Buat Ugy & Harimah terima kasih kerana hadir memberi pengormatan terakhir buat Mak malam tu..
iii) Buat Hasry (tunang). Terima kasih kerana sentisa berada di sisi, sentiasa memahami & sama-sama mengharungi kesukaran & dugaan ini.
iv) Buat adik-adikku. Walaupun kita tak punya Mak & Abah kat dunia ni lagi..tapi Kakak akan sentiasa berada di sisi kalian…


2 comments:

Anonymous said...

Takziah buatmu Ani...Aku di sini mendoakan ketabahan dan kekuatan untuk kau meneruskan hari2mu dengan kesabaran...
Norazita Ab aziz (nor) (UTMJB)

norlieza82 said...

takziah sy ucapkan pada anda sekeluarga....

semoga sentiasa tabah dgn setiap ujian dariNya....

 
sketch of moments - Blogger Templates, - by Templates para novo blogger Displayed on lasik Singapore eye clinic.